Wednesday, February 3, 2010

Sejadah..

Angin petang yang sepoi-sepoi bahasa menampar lembut tubuh si tua yang tersadai di dinding. Warna kulitnya semakin lusuh dan pudar. Bulu-bulu roma di badannya juga sudah tiada lagi. Badannya juga semakin layu, ditambah pula bau badannya yang tidak sewangi bunga kasturi. Walaupun usianya semakin tua tetapi dia masih lagi berguna kepada seorang hamba Allah yang ingin mencari ketenangan. Tidak kira siang, malam, atau satu per tiga malam, dia tetap berkhidmat. Dengan hati yang ikhlas, dia menampung sujud hamba Allah. Kadang-kadang, dia menadah air mata keinsafan yang lahir daripada hati seorang mukmin. Daripada Seurat benang, maka terciptalah dia sehelai sejadah.

“Ayah, minggu hadapan keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan. Kalau Aiman dapat keputusan yang terbaik, Aiman ingin hadiah daripada ayah.” Pinta Aiman.

“ Baiklah, nanti ayah belikan hadiah. Ayah pasti kamu mesti mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.” Pak Ghazali tersenyum.

“Insya-Allah ayah. Aiman juga yakin, Aiman akan mendapat keputusan yang cemerlang.” Aiman mencium tangan ayahnya setelah selesai solat isyak. Pak Ghazali menyidai sejadah buruknya pada tali yang telah disediakan, lantas dia teringatkan wajah arwah isterinya yang sudah meninggal dunia ketika melahirkan Aiman. Walaupun sudah tujuh belas tahun dia kehilangan isterinya,rindu dan sayang masih segar dalam qalbu. Tangisan rindu sentiasa menitik di atas sejadah ini yang dihadiahkan oleh isterinya sebelum meninggal dunia.

“Ya Allah, tempatkanlah isteriku dalam kalangan orang-orang yang beriman. Semoga engkau tenang di sisiNYa.Amin.” Pak Ghazali berdoa dengan monolog dalaman. Dia mula terfikirkan hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada Aiman.

* * * *

Seminggu kemudian, ketika sejadah buruk merehatkan diri, Pak Ghazali membuka pintu bilik dan menyangkut kopiahnya pada paku yang tersemat kemas di dinding kayu.

“Mungkin dia baru balik.” Seru sejadah buruk.

Pak Ghazali membuka beg plastic yang dijinjingnya. Dia tersenyum sendirian tatkala melihat barang yang dibelinya tadi.

“Assalamualaikum. Ayah!!!” Aiman memanggil-manggil ayahnya.

Pak Ghazali terkejut dengan suara garau anak lelakinya,lantas meletakkan beg plastic di atas katil dan beredar ke ruang tamu.

“Waalaikum w.b,t. Syukur Alhamdulillah Aiman sudah balik. Ayah baharu sahaja sampai ke rumah.” Pak Ghazali menghulurkan tangan dan Aiman menyambut dengan hati yang gembira.

“Ayah, Aiman dapat 7A dan 3B. Walaupun Aiman tidak mendapat keputusan yang cemerlang, Aiman bersyukur kerana inilah yang terbaik untuk diri Aiman, ayah dan mak. Terima kasih ayah kerana mendidik Aiman.” Aiman memeluk tubuh ayahnya yang kian kurus. Pak Ghazali menepuk bahu Aiman dan tersenyum kegembiraan. Nalurinya sebagai seorang bapa tersentuh. Air mata yang bertakung mula merembes keluar. Inilah kali pertama dia menangis di hadapan Aiman. Namun dia bersyukur, kerana tangisan ini bukanlah kerana kekecewaan tetapi kegembiraan.

“Syukur Alhamdulillah” Pak Ghazali membisikkan kalimah syukur di telinga Aiman. Telinga ini jugalah yang mendengar laungan azan Pak Ghazali ketika mula mengenali dunia ini.

“Ayah, alangkah gembiranya kalau arwah mak dapat berkongsi kegembiraan ini bersama-sama” Aiman mengesat air mata yang semakin laju membasahi pipi. Aiman semakin hiba. Dia tidak pernah melihat wajah ibunya sejak kecil lagi. Ketika tadika, kanak-kanak lain akan ditemani oleh ibu mereka sehinggalah habis waktu persekolahan. Tetapi Aiman akan bersendirian tanpa ditemani ibu. Dia hanya berputih mata melihat kemesraan itu.

“Aiman, mak kamu sedang menunggu kita di pintu syurga. Dia yang akan menyambut kita di akhirat nanti. Insya-Allah.Tahniah. Ayah begitu bangga kerana dapat mendidik kamu menjadi seorang yang berilmu.” Pak Ghazali melepaskan pelukan Aiman. Dia mengambil slip keputusan peperiksaan daripada tangan Aiman.

“Akhirnya terbalas juga pengorbanan ayah selama ini. Usaha ayah bukanlah satu usaha yang sia-sia. Terima kasih kerana menghargai pengorbanan ayah. ”

Sejadah buruk yang sejak dari tadi memasang telinga tersenyum kegembiraan. Termakbul juga doa seorang ayah.Dia tahu, setiap malam, Pak Ghazali akan merintih kepada Yang Maha Esa.

* * * *

“Aiman, ini adalah hadiah daripada ayah. Ini sahaja yang ayah mampu beli.” Pak Ghazali mengeluarkan sejadah berwarna putih yang baharu sahaja dibeli.

“Terima kasih ayah. Aiman hargai hadiah ayah.” Aiman mengambil sejadah yang dilipat kemas. Disentuhnya sejadah itu, lembut dan tebal. Jahitannya kemas.

“Tetapi kenapa ayah hadiahkan sejadah? mesti ada makna yang tersirat.” Soal Aiman.

“ Dahulu, arwah mak kamu pernah menceritakan kepada ayah tentang si pencuri dan srikandi Islam iaitu Rabiatul Adawiyah:

Suatu ketika dahulu, pondok buruk Rabiatul Adawiyah dimasuki pencuri, akan tetapi pencuri itu tidak menjumpai apa-apa barang yang berharga. Dia hanya terjumpa sebiji kendi buruk. Ketika pencuri itu ingin melangkah keluar daripada pondok buruk itu, dia ditegur oleh Rabiatul Adawiyah, “Sebelum keluar, ambillah sesuatu daripada pondokku ini.” Lalu si pencuri menjawab, “Aku tidak menjumpai barang yang berharga.” Rabiatul Adawiah pula menjawab, “Ambil sahaja kendi buruk itu. Kamu boleh gunakannya untuk mengambil wuduk dan tunaikanlah sembahyang taubat agar Allah dapat memberi ganjaran yang paling lumayan kepadamu.” Si pencuri akur dengan kata-kata itu. Panjang lebar Pak Ghazali bercerita.

“Jadi, apakah kaitan kisah itu dengan sejadah buruk ini ayah?” tanya Aiman.

“Oleh sebab itu, mak kamu hadiahkan sejadah ini kepada ayah. Katanya,ayah ini seorang pencuri hatinya.” Pak Ghazali tersenyum mengenangkan arwah isterinya. Pak Ghazali menyambung lagi, “ Dalam situasi sekarang, sejadah ini umpama kendi buruk yang diberikan kepada si pencuri. Ayah ini umpama pondok buruk. Dan Aiman sebagai pencuri. Ayah bukanlah seorang hartawan yang dapat mewariskan tanah pusaka kepada Aiman, tetapi ayah hanya mampu mewasiatkan ilmu kepada Aiman. Aiman boleh gunakan sejadah ini untuk solat sebagaimana si pencuri itu menggunakan kendi buruk untuk mengambil wuduk. Ayah harap, suatu hari nanti ayah dapat menjadi makmum kepada Aiman.”

Aiman menganggukkan kepalanya.

“Walaupun arwah mak kamu sudah tidak menjadi makmum ayah, tetapi sejadah pemberiannya ini sentiasa menemani ayah ketika solat.” Pak Ghazali merenung sejadah lusuh yang terbentang di hadapan matanya.

Allahuakbarullahuakbar!!!

Laungan azan isyak mula kedengaran. Begitu syahdunya suara bilal muda melaungkan kalimah suci.

“Aiman, waktu Isyak sudah masuk. Mari kita solat. Selepas itu bolehlah kita tunaikan sujud syukur sebagai tanda berterima kasih yang tidak terhingga kepadaNya.”ujar Pak Ghazali

Sejadah buruk tersenyum bangga kerana dia adalah satu-satunya memori yang ditinggalkan oleh arwah isteri Pak Ghazali. Memang patutlah warna telah lusuh kerana dia sudah berkhidmat lebih daripada 17tahun.