Monday, May 10, 2010

air tangan mak..

“Kawan-kawan, hujung minggu ni, kita pergi makan KFC nak tak? Lepas tu, boleh la kita pergi window shopping di Mall.” Sheryl mengusulkan cadangan dengan pelat Indianya.

“Boleh juga. Aku setuju dengan Sarah. Aku nak ikutlah.” Sokong Isya, salah seorang kawan aku yang tidak banyak membantah.

“Saya pun nak ikut juga. “ Sahut Mei Hua atau dengan gelarannya ‘budak Nerd’. Dia salah seorang rakanku yang amat rajin dan sopan. Bila bercakap, dia lebih suka membahasakan dirinya dengan gantinama ‘saya’. Perwatakannya sederhana, dan suka berkaca mata, amat sesuai dengan gelaran yang diberi.

“Awak tak nak ikut kami ke?” Tanya Mei Hua kepadaku. Aku memandang tiga orang sahabatku yang berunifom sekolah di hadapan sambil memikirkan jawapan yang sesuai.

“Aku tak boleh bagi jawapan sekarang, kena minta izin dengan mak aku dulu, maaf ye!.” Inilah jawapan yang tepat walaupun ia jauh berbeza dengan keadaan sebenar. Detak hati kecilku.

“Tak mengapa Mariani, kami faham kau. Jom kita balik rumah. Dah lewat ni” Ujar Sheryl. Rakan-rakan amat memahami dengan keadaan aku walaupun kami berlainan kaum dan agama. Mereka sedar, aku bukanlah anak saudagar yang mempunyai keuntungan berlipat ganda, tetapi aku hanyalah anak pekerja ladang getah yang bergantung harap kepada majikan.

Mereka bertiga berlalu dengan menunggang skuter masing-masing. Aku? Seperti biasa, aku akan berjalan kaki seorang diri, kerana jarak antara sekolah dan rumahku hanyalah dua Kilometer. Kadang-kadang Mei Hua, Sheryl dan Isya akan tumpangkan aku, tetapi hari ini, aku mengambil keputusan untuk berjalan sendirian memandangkan cuaca hari itu sedikit dingin.

Pokok-pokok rendang yang merimbun di tepian jalan menyejukkan mata memandang dengan bunga-bunga berkembang mekar. Angin yang sepoi-sepoi bahasa menyapu lembut dedaunan yang berguguran dan bertaburan di tengah jalan. Tanpa irama dan lagu daripada Hot Fm, aku ditemani dengan suara kicauan beburung yang berlagu riang.

Mungkin pada sang pencinta alam, suasana begini akan dihargai. Tetapi berbeza dengan budak kampung yang mahukan kemodenan seperti aku. Aku ingin hidup di celah-celah bangunan hutan batu yang kian bercambah dan menjolak dada langit zaman. Biarlah aku tenggelam timbul dalam arus kemodenan asalkan minda tradisional ini terbuka untuk menerima perkara-perkara baru hasil rekaan manusia.

“Macam mana aku nak minta izin dengan mak ni?” Soalan itu tenggelam timbul seperti anak-anak ikan dalam petak sawah sedang memagut bunga-bunga padi yang kian membunting jatuh bertaburan di permukaan air jernih itu.

“Mariani baru balik?” Tegur mak lembut, aku tahu dia yang masih beruniform kilang, menyapa aku dari belakang.

“Apa, mak ingat saya nak tidur kat sekolah?” Suara Mariani kasar dihulurkan kepada mak setelah pulang dari sekolah. Bukan salaman tangan atau ciuman seorang anak. Mak terdiam.

“Mak,hujung minggu ni, saya nak keluar dengan rakan-rakan boleh tak?” Aku meminta izin dengan mak.

“Mariani, mak bukan tak izinkan kamu keluar ke bandar tapi kamu akan membahayakan diri kamu sendiri. Umur kamu sekarang baru 15 tahun, bila kamu dah capai umur 20 tahun, mak izinkan kamu keluar bersama rakan-rakan. Sekarang ni, kamu tak boleh jaga diri sendiri lagi.” Mak berleter panjang. Pokpet pokpet macam bertih goreng.

“Mak, saya penat la. Saya tak nak dengar ceramah daripada mak. Petang macam ni pun, mak nak berleter. Saya bukannya budak kecil lagi mak.” Sepatah perkataan mak dibalas dengan beribu-ribu perkataan dari mulutku. Aku melangkah ke balkoni tanpa mempedulikan mak. Perasaan ammarah membelenggu hatiku yang selama ini diasuh supaya tidak dijangkiti penyakit hati.

Beg galas yang selalu dibawa ke sekolah dihempas ke lantai. Aku menyalin uniform sekolah. Peluh yang masih berbasi di dahi dikesat dengan tuala dan bersiap sedia untuk menunaikan solat Zohor. Itulah amalanku sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Setelah itu, aku akan turun ke dapur untuk bersarapan bersama-sama keluarga. Adat makan berkeluarga memang diterapkan oleh ayah sejak dari kecil lagi, walaupun ayah sudah lama meninggal dunia.

Ketika aku menuruni tangga untuk ke dapur, mak dan adik-adik sedang menunggu aku di meja makan. Aku melihat sarapan yang terhidang di atas meja dengan muka yang masam.

Ala…mak ni, setiap hari makan nasi dengan ikan bakar. Bosan la mak. Tukar la menu lain. Ayam goreng ke, daging masak kicap ke. Terbuka sikit selera saya nak makan nasi.” Arah aku kepada mak tanpa mempedulikan perasaannya yang sedikit terguris dengan kata-kataku.

“Mariani, bersyukurlah dengan apa yang ada. Rezeki yang kita makan ni dah cukup lumayan jika nak bandingkan dengan orang miskin. Daripada hari-hari kamu kutip sisa makanan, lebih baik kamu makan nasi dengan ikan bakar. Kalau ada wang lebih nanti, mak masak lauk lebih sedap. Bulan ni, mak dapat gaji sedikit saja.” Itulah alasan mak bila setiap kali aku merungut tentang menu harian.

“Orang lain yang ambil upah basuh baju pun boleh makan udang goreng tepung, mak. Saya ni, anak pekerja kilang, nak makan ayam goreng pun susah ke? Susahlah hidup orang miskin macam ni!”aku mula meninggikan suara.

“Mariani…”

“Mak makanlah dulu. Saya tak mahu makan hari ni. Dah kenyang.” Belum sempat mak menghabiskan kata-katanya, aku mencelah dengan nada mendengus seperti kerbau yang enggan memamah rumput. Aku menyusun langkah ke bilik sambil menghentakkan kaki sebagai tanda protes.

GEDEGANG!!!

Bunyi daun pintu yang sengaja ditutup dengan kuat. Kalaulah daun pintu itu dapat berkata-kata, pasti ia mengaduh kesakitan. Tanpa aku sedari, ada hati yang terluka. Ada hati yang tercalar dek kerana anak yang dikandung selama sembilan bulan. Ketika dalam kandungan, betapa aktifnya aku menendang dinding rahim mak, tetapi, apabila aku dilahirkan ke dunia dengan cukup sifat, aku mula berani menghentakkan kaki ke lantai apabila aku dimarahi mak.

Semuanya itu zaman lampau yang tidak perlu dikenangkan lagi. Hatiku terkedu oleh nostalgik yang menyakitkan. Tiba-tiba nada deringan ‘welcome to my life’ yang dinyanyikan oleh Simple Plan membuang jauh kenangan zaman silam. Satu panggilan masuk tertera di skrin telefon bimbit klasik milikku.

“Assalamualaikum, mak.” Agaknya suaraku menjadi kian manja dan matang.

“Wa’alaikummusalam. Mariani sihat? Dah makan ke belum?” Itulah soalan lazim yang akan ditanya oleh mak. Mak bimbang aku lapar. Mak bimbang aku sakit.

“Alhamdulillah sihat.Belum makan lagi, mak.” Aku menjawab dengan nada sayu.

“Kenapa tak makan lagi?” Suara perempuan tua separuh umur ini mengusulkan soalan lagi. Jelas kerisauan tertusuk di sebalik kemanjaan dan kelunakan suara emasnya.

“Saya rindukan masakan mak.” Kataku sepatah. Mungkin mak menyapu buli-buli air jernih yang gugur di pipinya mendengar jawapanku. Selepas itu, aku bersembang panjang dengan mak melalui udara. Sudah lama aku tidak bersua muka dengannya. Agak-agak sudah tiga bulan kami terpisah oleh jerigi masa. Aku menjadi kian kesibukan setelah berjaya menjadi seorang mahasiswi berkat ketabahan mak menjagaku.

“Benar kata pepatah Melayu; tangan yang menghayun buaian boleh menggegarkan alam buana!” Aku teringat ungkapan klasik Melayu yang menjadi senjata hidupku kini.

Aduhai, sewaktu zaman kanak-kanak, aku sering memperlekehkan masakan mak. Tetapi bila aku berjauhan dengan mak, aku kepingin masakannya, terutama ikan bakar. Baru aku sedari, masakan mak tiada bandingannya. Kata orang, air tangan ibu dapat mengikat perut suami dan anak-anak. Hebatnya pengajaran ini. Secara zahirnya tiada apa-apa, tetapi secara metafiziknya, itulah yang terjadi.

Lihat sekarang, segala-galanya sudah terbukti. Bila aku pulang ke kampung, mak akan menghidangkan menu yang ringkas sahaja kerana itu adalah permintaanku sendiri. Suatu hari aku pernah beritahu pada mak.

“Mak tak payahlah masak tomyam, sup ayam, daging bakar, gulai kawah. Saya nak makan nasi putih, ikan bakar dan ulam saja mak. Saya lebih suka makan masakan kampung”

Semenjak aku menjejakkan kaki ke Institut Pendidikan Guru Cawangan Lembah Pantai, aku sudah pandai merindui kampung halamanku. IPGM yang berlatarkan kosmopolitan betul-betul mengajar aku erti kehidupan yang sebenar.

Hidup bergelandangan bagai musafir di tengah kotaraya bukanlah sesuatu yang senang. Perlu jiwa nan kental. Perlu minda nan pintar. Perlu ketabahan mengemudi bahtera di laut hidup supaya tidak tenggelam dalam gelombang.

Hidup di sini sentiasa berdansa dengan ragam sendiri-sendiri. Enjin kenderaan mengaum ganas di jalan raya. Kesesakan lalu lintas bertali arus sepanjang jalan. Kanak-kanak yang baru pulang dari sekolah masih lagi berada dalam bas kerana tersangkut di jalanraya yang sesak walaupun hari sudah lewat petang. Kasihan mereka. Setiap malam, aku akan memandang langit yang terbentang luas di atas perut kotaraya ini.

Aku terkenangkan pada kampung halaman. Langitnya berwarna biru pekat, bintang-bintang turut ceria menemani sang ran bulan, angin malam yang melekit berbaur dengan gas toksid melengkapkan kesempurnaan malam. Tetapi, aku sedih melihat langit yang memayungi kotaraya ini. Warnanya kemerahan. Tiada lagi biru pekat. Yang ada hanyalah gumpalan awan. Adakah langit ini sudah sakit oleh kepanasan?

Sebagaimana tersiksanya bumi yang semakin uzur kerana lapisan-lapisan yang menutupi keraknya makin ditoreh oleh gergasi-gergasi kemodenan? Ah, hayalanku terbang melata-lata ke segenap alam. Sesekali kepada kotaraya, kampung halaman, pengajian dan hidangan yang dibuat oleh mak.

Adakalanya ingatan ini berpanjangan kepada kejahilan diri yang tidak aku sempurnakan demi meraih kasihMU, Tuhan….