Saturday, January 16, 2010

8 februari

BAB 1

Aku…siapa aku yang sebenarnya? Adakah aku masih mencari identity aku yang sebenarnya? Sedangkan umurku sudah menjangkau angka dua puluh tujuh tahun tetapi aku masih terkapai-kapai mencari cintaku yang abadi. Betapa kerdilnya diriku di sisi-Nya. Betapa jahilnya aku tentang hukum hakam agama yang termaktub dalam Al-Quran. Ilmu yang sedia ada masih belum mampu menampung aku ke taman Firdausi. Ilmu yang sedia ada hanyalah ilmu duniawi semata-mata. Usrah di masjid hanyalah sebagai makanan rohaniku, tetapi pada hakikatnya rohaniku selalu kelaparan dengan tasbih kifarah, dan sembahyang sunat. Bukannya aku tidak mampu…tetapi aku lalai dengan gelombang masa yang begitu rakus meragut cintaku kepada Yang Maha Esa. Aku..

“Akak, saya ingin tumpang tanya, tandas di mana ya??” Lamunanku terhenti dek suara lunak seorang gadis yang bertudung cantik, ditemani si cilik yang bertoncang dua.

“Bersebelahan dengan restoran Aimuni tu ada tandas perempuan. ” Aku menunding jariku ke arah restoran Aimuni yang sentiasa dipenuhi dengan pelanggan.

“Terima kasih akak. Jumpa lagi.” Ucapan terima kasih ku sambut dengan monolog dalaman. Gadis itu berlalu pergi dengan senyuman yang manis. Cantik sungguh gadis ini. Walaupun berpakaian santai, tetapi tetap kelihatan sopan. Si cilik yang tadinya merengek-rengek merenung aku sehinggalah sebatang pokok ru yang menjadi batasan renungan mata kami. Barangkali gadis itu adalah kakak kandungnya.

Aku meletakkan kembali pandangan mataku ke tempat asal. Ombak datang dan pergi seolah-olah menghakis keburukan yang ada di persisiran pantai. Pasir yang halus budi pekertinya mengikut ke mana sahaja ombak pergi. Angin yang membahang menghangatkan lagi keindahan Pantai Cahaya Bulan.Aku selesa berada di sini. Mencari ketenangan yang sebenar-benarnya. Mataku terpaku pada sebatang tubuh yang sedang berdiri menghadap ke kaki laut. Seorang adam…yang mungkin juga sedang mencari apa yang aku mencari. Sedang aku memerhatikannya, dia berpaling dan berjalan menuju ke arahku. Aku hanya perhatikan saja langkah-langkahnya yang meninggalkan persisiran pantai. Semakin dekat, semakin berdebar jangtungku. Kelibatnya sama seperti dia. Aku memfokuskan anak mataku pada kadar pixel yang maksimum. Semakin dekat, semakin jelas…

“Ayesha!!!” aku tidak mempedulikan panggilan ibu. Yang penting, aku ingin tahu siapa lelaki itu.

“Ayesha!!!”Batang tubuh ibu menggantikan kelibat lelaki itu di ruang kornea mataku. Aku melihat ibu dengan pandangan kosong. Kelibat lelaki tadi juga menghilang entah ke mana.

“Jauhnya anak ibu mengelamun. Nampaknya, ibu dapat menantu yang jauh la ye? “ Ibu mula membuka langkahnya.

“Ibu mahu menantu yang jauh ke? Kalau Ayesha tidak pulang beraya bersama-sama, jangan merajuk pula.”Aku mengikut rentak ibu.

“Jangan fikirkan tentang perasaan ibu dan ayah, yang paling penting, Ayesha dapat menjadi isteri yang solehah kepada suami suatu hari nanti.” Ujar ibu sambil memberikan senyuman yang membawa erti seribu makna. “Kamu tolong jaga restoran. Ibu dan ayah mahu ke bandar, ada urusan penting. ”

“Baiklah ibu. Jaga diri baik-baik.” Aku menyalami tangan ibu dan ayah. Tangan itulah yang mengajar aku erti kehidupan dan menjadikan aku seorang insan yang berguna. Aku terus melangkah meninggalkan bangku panjang dengan pelbagai persoalan. Senja mula meniup sang bayu, matahari yang ligat memancarkan cahayanya mula melabuhkan tirai, ombak mula merendahkan diri, dan ini bermakna siang akan berganti dengan malam. Sepertimana hatiku yang mulai rasa gundah gulana dengan janji sang pujangga.

BAB 2

“Awak, saya rasa kita patut hentikan sementara hubungan ini demi masa hadapan kita berdua. Sperti yang awak tahu, saya akan menduduki peperiksaan untuk tahun terakhir.Jurusan kejuruteraan bukanlah jurusan yang senang. “ lancar sahaja mulutnya melafazkan kata putus. Aku tidak menyangka, perkara ini akan berlaku setelah sekian lama kami mempertahankan hubungan ini.

“Kalau itu yang awak inginkan, saya hanya mengikut kata sahaja. Jangan kerana saya, masa hadapan awak hancur musnah. Saya akan turut bahagia jika awak bahagia.” Walaupun berat untuk aku lafazkan, tetapi itulah hakikat yang aku patut terima. Aku sebagai hamba yang berfikiran terbatas hanya mampu pasrah dan mendoakan hikmah di sebaliknya.

“Saya berjanji, pada 8 Februari 2007, saya akan menghantar rombongan pinangan untuk menyunting kasih awak seperti yang kita janjikan sebelum ini. Dan saya harap pada masa itu, hati awak masih menjadi milik saya.“ Dia memberikan janji manis.

“Usahlah awak berjanji jika awak sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok.” Aku cuba menduga perasaannya.

“Saya berani berjanji kerana saya yakin, hati ini adalah kepunyaan awak untuk selama-lamanya.” Kata-katanya membuatkan hatiku berbunga harapan.

“Baiklah, saya minta diri dulu. Saya ada kuliah pada pukul 2.00 tengahari nanti. Jangan lupakan tarikh 8 februari 2007.” Dia berlalu meninggalkan aku dengan memberi pengharapan yang tinggi. Kafeteria Kolej Fakulti Kejuruteraan menjadi saksi perpisahan antara kami dan juga janji seorang lelaki.

Duhai lelaki, adakah kau sedar, 8 februari 2007 sudah tiga tahun berlalu, tetapi dimanakah janji yang kau berikan kepada aku? Sudah tiga lamaran ditolak dan sudah tiga jugalah saya kecewakan hati ibu dan ayah. Semuanya kerana awak. Adakah hati awak bukan milik saya lagi? Adakah hati awak kini milik hawa yang telah tersurat dalam takdirmu?

“Ya Allah, sejak bila ayesha suka termenung? Sudah tukar Hobi? Ibu tengok kamu selalu termenung. Ada masalah ke?” Kemunculan ibu yang secara drastik menghambat memori lama daripada terus bergelumang di dalam jiwaku.

“Ayesha tiada masalah pun ibu. Kenapa ibu masuk bilik Ayesha? Ada apa-apa yang Ayesha boleh bantu?” Aku mengubah topic untuk menghalau kesedihan di hati.

“Kenapa? Ibu tidak boleh masuk bilik Ayesha ke? Yelah, ibu tahu, Ayesha sudah dewasa, jadi ibu tidak berhak untuk mencampuri urusan kamu.” Ibu menduga lagi perasaan aku. Kata-katanya amat menyentuh perasaanku. Bukan aku tidak mahu berkongsi, tetapi aku tidak mahu ibu dibebani dengan masalah kehidupanku.

“Ibu, Ayesha tidak berniat untuk sisihkan ibu daripada urusan hidup ayesha, tetapi biarlah Ayesha berdiri dengan sendiri. Ayesha tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah lagi.” Aku memujuk hati ibu yang tidak dapat di duga perasaannya.

“Ibu faham. Tetapi ibu tidak mahu Ayesha asyik termenung begini. Kalau ada masalah,kongsilah dengan ibu dan ayah. Esok, genaplah dua puluh lapan tahun umur Ayesha. Ibu, ayah dan adik-adik sudah bercadang untuk mengadakan majlis hari lahir kamu di restoran kita malam esok. Jemputlah kawan-kawan sekerja Ayesha. Oh ya, sebelum terlupa, Ayesha akan berkongsi majlis dengan anak salah seorang pelanggan ibu. Kebetulan pula hari lahir Ayesha sama tarikh dengan anaknya. Ayesha tidak kisah?” panjang lebar ibu bercerita.

“Ayesha tidak kisah ibu. Berapa umur anak dia, ibu?”

“Baru dua tahun. Namanya Ishqi” Ibu menjawab soalanku. “Ibu minta diri dulu. Ingin temankan buah hati ibu menonton televisyen.”

“Baiklah ibu, pergi temankan ayah. Kesian buah hati ibu tonton televisyen keseorangan.” Ibu melangkah keluar dengan senyuman bahagia. Aku bangga dengan hubungan ibu dan ayah. Walaupun sudah lama mendirikan rumahtangga, tetapi sifat romantis tidak pernah lekang.

Tanpa ku sedari, detik dua belas malam nanti,genaplah dua puluh lapan tahun umurku. Ini bermakna sudah empat tahun aku menunggu kehadiran dia. Sudah tiba masanya aku berlalu pergi daripada terus menunggu kapal yang belum pasti. Pergilah engkau bersama janji yang telah engkau berikan padaku sewaktu dahulu. Bawalah bersama secebis hatimu yang telah engkau tinggalkan padaku.

BAB 3

Aku melangkah keluar dari kedai cenderamata ‘Parkway. dengan membawa ‘teddy bear’ yang baharu sahaja dibeli. Aku yakin, budak perempuan itu pasti sukakan ‘teddy bear’ yang besar ini. Aku letakkan ‘teddy bear’ itu di tempat duduk belakang dan membaiki posisi duduk agar aku selesa memandu. Dengan cermat, aku memandu Volkswegen berwarna kuning cerah yang mampu memukau mata bi buta antik.

Dalam masa lima belas minit, aku sampai ke restoran Aimuni, iaiturestoran milik ibu yang sudah lama dibina. Ketika aku berusia tujuh belas tahun lagi. Kata ibu, Aimuni itu bermaksud keberkatan. Jadi, restoran itu terbina daripada kerberkatan Allah S.W.T. Alhamdulillah… tempat yang dipilih ibu juga cukup strategi iaitu di tepi pantai. Restoran Aimuni yang beratapkan daun nipah dan berkonsepkan kampung,memang menarik perhatian pengunjung. Masakan juga berkonsepkan ala kampung seperti ulam, ikan bakar, ikan goring, ayam berempah dan yang paling penting, budu.

Tepat jam 9.00 malam, setelah selesai menunaikan solat fardhu Isya’, majlis dimulakan. Ramai rakan-rakan sekerja datang. Kalau yang sudah berkeluarga semestinya datang beramai-ramai. Kalau yang masih solo, mereka datang secara berkumpulan, terutamanya lelaki. Dan ada juga sesetengah tetamu yang aku tidak kenali, mungkin rakan-rakan ibu dan ayah. Ketika aku sedang beramah mesra dengan tetamu yang hadir, mataku terpandang kelibat seorang lelaki berkemeja biru yang menggangu fikiran aku tempoh hari. Dengan sekelip mata, dia hilang di sebalik tetamu-tetamu yang hadir. Aku mencari-cari kelibat dia.

“Assalamualaikum, cari siapa?” tegur Haikal, sahabat yang paling aku rapat. Suka dan duka kami berkongsi bersama. Pemikirannya matang memberikan sedikit ruang di dalam hatiku, tetapi hanya kerana janji seorang kekasih, aku cuba menangkis perasaan itu daripada terus membenyeksa qalbuku.

“Waalaikum.Sha tengah mencari Hang Tuah” Aku cuba menutup lubang telah aku galikan.

“Kenapa masih mencari? Hang Tuah sudah ada di depan. Siap bawa hantaran lagi.” Gurau Haikal sambil menghulur sekotak hadiah yang bersaiz kecil.

“Yela Hang Tuah, patik amatlah sukacita menerima hantaran ini.” Aku tahu, kata-kata Haikal hanyalah sekadar gurauan.

“Bila Haikal sampai? Papa dan mama tidak datang ke?” ayah mencelah.

“ Saya baharu sampai pak cik. Oh ya, papa dan mama kirim salam. Mereka ada urusan di luar negeri.” Haikal menghulurkan salam untuk bersalam dengan ayah sebagai tanda hormat.

“Waalaikum. Jemputlah makan Haikal. Jangan malu-malu. Pak cik ada tetamu.” Ayah berlalu dan kini beganti pula dengan Andak, adik bongsuku.

“Kak Sha, ibu panggil. Majlis potong kek akan bermula. Ishqi pun sudah sampai.”ujar andak.

“Baiklah, sekejap lagi, kak Sha datang. Kak Sha ingin mengambil hadiah Ishqi di dalam kereta. Haikal, nanti temankan Sha potong kek. Lagipun Sha ingin kenalkan Ishqi.”

“Ishqi? Siapakah dia?” soal Haikal.

“Budak perempuan yang kongsi tarikh lahir dengan Sha.”Aku menuju ke Volkswegen, dan mengambil teddy bear yang baharu dibeli. Aku letakkan hadiah yang diberikan Haikal di atas dashboard.

Aku berjalan menuju ke tempat pemotongan kek sambil membawa teddy bear dan diiringi Haikal. Di situ, keluargaku sedang menunggu. Namun ada sesuatu yang menarik memori aku di sisi ibu. Seorang gadis yang bertudung dan seorang budak perempuan yang memakai gaun kembang dalam lingkungan dua tahun. Aku pernah kenali mereka tempoh hari. Di depan restoran Aimuni.

“Sha, ibu kenalkan anak pelanggan ibu. Gadis yang cantik ini bernama Munira. Di sisinya itu anak saudara dia, Ishqi.” Aku menghulurkan tangan kepada Munira untuk bersalam.Mataku beralih arah kepada Ishqi. Matanya yang bulat menarik perhatian aku. Aku bongkokkan badan untuk mencium pipinya yang montel dan memberikan teddy bear yang sama besar dengan saiz badannya. Aku memangku Ishqi dan teddy bear itu untuk memudahkan kami memotong kek bersama-sama.

“Papa” panggil Ishqi sambil tangannya ditujukan ke arah lelaki yang sedang beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Lelaki inilah yang aku tercari-cari sebentar tadi dan tempoh hari. Mungkinkah ini papa Ishqi?

“Papa!” rengekan Ishqi menarik perhatian lelaki itu dan terus berpaing ke arah aku dan Ishqi. Aku dan lelaki itu saling berpandangan.

“Amirul Aaqif.” Jerit hatiku.

“Itulah papa Ishqi.” Bisikan ibu bagaikan merobek hatiku yang sudah terluka selama tiga tahun. Hatiku sakit bagaikan ditusuk dengan belati yang tajam.

Ya Allah…betapa hebatnya ujian yang Engkau berikan kepadaku. .. Kenapa aku dipertemukan kembali dengan lelaki yang telah menghancurkan hatiku. Rupa-rupanya anak kecil dalam pangkuanku ini adalah anak lelaki yang pernah aku cintai. Sebak di dada kian mengganas, dan bakal menggeledakkan tangisan namun ditahan dek kerana mata-mata yang sedang memandang kami bertiga. Mereka hanya Nampak apa yang terbentang di mata kasar.Yang berdrama hanyalah batin aku dan Aaqif.

Sepanjang majlis, aku kerahkan saki baki semangat yang ada walaupun batinku terseksa yang teramat. Aku tahu Aaqif juga tidak menyangka tentang pertemuan yang telah dirancang oleh Yang Maha Kuasa. Aku bencikan Aaqif!! Lelaki yang telah memungkiri janji!

BAB 4

Makanan yang terhidang di hadapan mata tidak berjaya mengetuk pintu seleraku. Masakan kegemaran yang disediakan oleh ibu dijamah perlahan-lahan. Perasaanku lebih gemar melayan gelora jiwa yang berkecamuk.

“Ibu tengok perangai kamu lain benar hari ini?” tegur ibu.Aku mengangkat muka. Bebola mata ahli keluarga tertumpu ke arah aku.

“Kak Sha sudah terpikat dengan ayah Ishqi ke?”Usik andak yang sudah mempunyai kumis di dagu. Aku tersentak dengan gurauan andak.

“Andak, jangan cakap begitu. Masakan kak Sha terpikat dengan suami orang.” Aku membantah. Andak, lelaki itulah yang telah menghancurkan hati kak Sha.

“Dia seorang duda,Sha. Isterinya telah meninggal dunia ketika melahirkan Ishqi. Kesian Ishqi. Dia masih kecil lagi tetapi sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Oleh sebab itulah, Ishqi terlalu rapat dengan ibu dan ayah.” Aku terpana mendengar cerita ibu. Aku melihat kelopak mata ibu yang sudah bertakung airnya. Tiba-tiba, hatiku diundang sayu dan pilu. Kasihan Ishqi.

“Ayah akan restu hubungan Sha dengan Aaqif. Ayah tahu, Aaqif seorang lelaki yang baik.”Suasana ruang makan menjadi sunyi seketika. Hanya jantung jam sahaja yang kedengaran. Aku juga hilang kata-kata. Aku keliru. Aku lemas dengan suasana ini.

“Ibu, ayah, Sha minta diri dulu. Sha sudah lewat.” Aku membawa pinggan ke sinki untuk di basuh.

“Eh?Bukan ke hari ini hari Ahad? Kak Sha kerja ke?” Tanya busu, adik lelaki yang kedua bongsu. Aku terperanjat. Nampaknya kali ini, aku tersilap memberi alasan.

“Ayah, Nampak sangat kak Sha sudah angau dengan papa Ishqi.” Guruan andak mengundang gelak tawa ahli keluargaku. Aku meluru masuk ke bilik tidur dengan perasaan yang bercampur baur.

Air mata yang sejak semalam lagi ditahan akhirnya merembes keluar. Perasaan aku bercampur baur. Aku sendiri tidak tahu tentang perasaan yang aku alami sekarang. Aku sedih mendengar cerita ibu tentang Ishqi, tetapi aku bencikan Aaqif kerana janjinya. Ya Allah…tolonglah hambuMu ini.

TRUT!! TRUT!!!

Bunyi telefon bimbit menandakan penerimaan satu mesej. Aku mencapai telefon bimbit yang tersadai di meja almari solek. Setelah menyelongkar system telefon bimbit, satu mesej tertera:

Salam…Saya memohon maaf seandainya mesej ini mengganggu fikiran awak. Saya mohon, berilah peluang kepada saya untuk bersemuka dengan awak. Saya merayu.

–Amirul Aaqif-

Hatiku bertambah parah dengan kehadiran mesej daripada Aaqif. Akhirnya, aku tertidur dalam sendu tangisan yang tidak berlagu.

BAB 5

Hari ini, aku akan mendengar penjelasan daripada Aaqif setelah sekian lama aku hidup dengan janji kosongnya. Aku akan tabah untuk bersemuka dengannya. Tepat jam 5.30 petang, aku sampai ke Taman Tengku Anis. Aaqif sudah sedia menunggu aku di tepi keretanya. Hati mula berdebar. Inilah kali pertama aku berjumpa dengan Aaqif secara peribadi setelah empat tahun kami berpisah. Wajah inilah yang aku rindui.

“Jom, kita pergi jalan-jalan sekitar taman ini. Ishqi dan Munir ada di taman permainan sana.” Aaqif menunding jarinya ke arah taman permainan yang dipenuhi dengan kanak-kanak. Munira yang sejak dari tadi memerhatikan kami melambai-lambai tangan ke arah kami.

Aku dan Aaqif berjalan-jalan tanpa sebarang kata. Masing-masing sedang mencari ayat sebagai Muqaddimah. Tangan dan kakiku sudah lama membeku. Sesekali aku mencuri pandang pada wajah Aaqif. Memang tidak dinafikan, hatiku masih merinduinya.

“Awak sihat? Saya tidak menyangka, restoran Aimuni itu adalah milik ibu dan ayah awak. Banyak kebetulan dan percaturan yang membawa kita ke sini.” Suara Aaqif memecah kesunyian.

“Alhamdulillah sihat.” Itu sahaja yang terkeluar daripada mulutku. Tiba-tiba sahja lidahku kelu untuk berbicara.

“Kenapa masih membujang? Kerana janji yang saya berikan?” soalan Akif betul-betul memeranjatkan aku. Dia masih dengan janji itu. Tetapi kenapa dia mungkiri?

“Saya tahu, awak mesti tertanya-tanya kenapa janji itu tidak tertunai. Saya memohon maaf. Saya akui, memang saya terlupa pada janji itu sehinggalah lahirnya Ishqi pada tarikh 8 Februari. Dan pada masa itu jugalah isteri saya meninggal dunia. Beberapa bulan kemudian, saya mimpikan awak yang menangis keseorangan di dalam pondok buruk. Sejak hari itu, saya mencari jejak awak dari rakan-rakan tetapi tidak sedikit pun yang dapat membantu saya. Hanya doa yang saya harapkan sehinggalah pertemuan saya dengan pak cik Mad dan mak cik Ramlah. Saya tidak menyangka mereka itu adalah ibu dan ayah awak. Kalau bukan kerana majlis hari lahir awak, mungkin saya tidak akan mengenali anak perempuan ini.” Panjang lebar Aaqif bercerita. Air mata yang cuba ditahan hampir meleleh ke pipi. Aku tidak mahu menangis di hadapan Aaqif. Aku cuba membuka mulut tetapi tidak berdaya. Air luir yang ditelan terasa kelat.

Aku membuang pandang ke arah tasik yang terbentang luas di hadapan untuk mencari kekuatan. Nafas ditarik sedalam mungkin. Nafas dihembus bersama-sama kudis yang sudah lama terbuku di hati. Demi Ishqi, aku akan maafkan dia.

“Dengan hati yang tulus,saya sudah maafkan awak. Saya tidak marah, dan saya juga tidak berdendam. Bukankah saya pernah memberitahu kepada awak, saya akan turut bahagia jika awak bahagia.Cukup sahaja penjelasan yang awak berikan.” Betul, aku sudah maafkan dia.

“Abang, Ishqi lapar.” Kehadiran Munira menghentikan perbualan kami.

“Baiklah, jom kita pergi makan sama-sama.” Aaqif memangku Ishqi menuju ke restoran berhampiarn. Aku dan Munira berjalan seiring membuntuti Aaqif.

Hatiku sayu melihat Ishqi. Seorang kanak-kanak yang berusia dua tahun sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Siapakah yang akan mendodoi ketika dia ingin tidur? Siapakah yang menyuapkan makanan ke mulutnya? Siapakah yang akan menggosok unifom sekolahnya nanti? Siapakah yang mandikan dia? Siapakah yang akan mendandan rambutnya? Ishqi…Semoga Tuhan melindungi dirimu…

Aaqif..seorang bapa yang amat penyayang. Dia sabar melayani karenah Ishqi. Jauh di sudut hati, aku kagum dengan sikap Aaqif. Alangkah bahagia jika Ishqi adalah anakku, dan Aaqif adalah suamiku. Namun, Tuhan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

Sejak dari pertemuan itu, kebahagiaan mula hadir dalam sanubariku. Ishqi juga sudah dapat membiasakan dirinya dengan aku. Jika dahulu, dia malu untuk bercakap denganku, tetapi sekarang, dia semakin petah berkata-kata. Setiap kali hujung minggu, aku akan membawa Ishqi ke rumah untuk meluangkan masa dengannya.

BAB 6

“Sedap betul makan burger ni. Kalau Sha buat lagi sedap rasanya.” Aku tersenyum mendengar sindiran Haikal.

“Jangan nak menyindir Sha.”

“Eh, Haikal tidak berniat untuk menyindir Sha. Cuba Sha tengok burger ini. Saling melengkapi antara satu sama lain. Tanpa daging burger, roti ini pasti tidak akan dipanggil burger. Tanpa roti, daging ini pasti tidak akan diapit dengan timun, salad, sos sili, mayonis dan tomato kerana tiada sokongan. Tanpa sos dan mayonis, roti ini tidak akan ada rasa. Timun dan tomato hanyalah sebagai pembantu.” Haikal mengulas panjang umpama seorang tukang masak. Aku tahu, setiap kata-katanya pasti ada makna yang tersirat.

“Sampai bila Sha ingin hidup sendirian? Sha seharusnya sudah mempunyai keluarga sendiri. Umur Sha sudah meningkat dewasa.” Aku memandang Haikal. Soalan yang sama diajukan oleh Aaqif.

“Haikal pun apa kurangnya. Jangan ditunggu lama-lama, nanti dikebas orang.” Aku tersenyum mengusik Haikal.

“Saat itu pasti tiba…Jom pergi solat asar di masjid.” Haikal berlalu dengan senyuman yang aku tidak dapat tafsir maknanya.

BAB 7

Disebabkan hari ini hujung minggu, aku mengambil keputusan untuk mencuci Volswagen sambil ditemani Ishqi. Hatiku berbunga melihat gelagat Ishqi yang bermain air sabun. Aku membuka pintu kereta untuk membersihkan habuk di dalamnya. Di bawah sit juga aku turut bersihkan dan mataku terpandang pada satu kotak kecil yang dibalut elok. Aku mengambil kotak itu. Memoriku mula bekerja dengan mesin-mesin kecil yang tersusun cantik di dalam akal.

“Astaghfirullah…” baharu aku ingat. Ini hadiah daripada Haikal ketika majlis hari lahir. Boleh pula aku terlupa. Aku membuka balutan itu dengan cermat. Kotak berbentuk hati dibuka. Cincin permata yang tersarung pada span menggamit naluri kewanitaanku. Lantas, kata-kata Haikal tempoh hari kembali menerjah ke kotak fikiranku. Wajah Ishqi dan sebentuk cincin itu bertukar silih ganti di ruang mataku. Ishqi yang memihak kepada Aaqif dan cincin itu memihak kepada Haikal. Namun,naluriku lebih memihak kepada Ishqi. Aku keliru.

Setiap malam, solat sunat Istikharah menjadi amalanku sebelum tidur sehinggalah suatu hari, aku mendapat jawapan yang pasti.

BAB 8

Masjid Al-bukhari tersergam indah, dihiasi dengan lampu neon yang menambahkan lagi seri masjid tersebut. Aku melangkah masuk ke ruang solat dengan jantung yang berdebar-debar. Kesemua anak mata memandang aku termasuklah pandangan mata seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku. Aku bersalam dengan tetamu perempuan yang hadir. Aku duduk bersimpuh yang diapit oleh ibu dan bakal ibu mertuaku menanti lafaz akad nikah.

“Aku nikahkan engkau, Mohd Haikal bin Taufiq dengan anak perempuanku, Nur Ayesha binti Muhammad dengan mas kahwin……….” Suara ayah melafazkan akad mengundang hiba di sanubariku.

“Aku terima nikahnya,……”Dengan sekali lafaz sahaja, aku sudah menjadi isteri Haikal yang sah. Akhirnya, gugurlah aku daripada tanggungan ibu dan ayah. Air mata yang ditahan, meleleh jua membasahi pipiku. Para tetamu perempuan juga turut mengalirkan air mata terutamanya permata hatiku, ibu. Aku memeluk ibu dan ayah seerat yang mungkin. Kini, ibu dan ayah telah terlepas beban daripada menanggung dosa-dosaku. Hatiku meronta-ronta untuk mengucapkan terima kasih kepada ibu dan ayah tetapi halkumku sakit dihimpit sebak yang kian bermaharajalela.

“Sudahlah menangis. Ayah mahu Sha jadi permata di kaca lembah. Contohi sifat-sifat ibumu yang sentiasa menjadi tulang belakang ayah.” Nasihat ayah disambut dengan anggukan dan esakan. Aku mengesat air mata dan mengucup tangan suamiku.

“Auntie Sha, Ishqi pun nak salam dengan uncle kal juga.” Celah Ishqi dan menghulur tangan kepada Haikal. Dan di sisinya, Amirul Aaqif yang tersenyum bangga melihat kepetahan anaknya.

“Semoga bahagia Sha. Aaqif doakan kebahagiaan Sha hingga ke syurga kelak.”ujar Aaqif.

“Terima kasih untuk segala-galanya Aaqif. Mengenali Aaqif adalah satu perkara yang mematangkan Sha.” Aku dan Aaqif berbalas senyuman sebagai tanda persahabatan.

“Ishqi, jom kita pergi makan.Jangan ganggu Uncle kal.” Aaqif dan Ishqi berlalu pergi untuk menikmati hidangan yang telah disediakan. Amirul Aaqif… Hatiku memang berpihak kepada Ishqi, tetapi bukan padamu lagi kerana hatiku sudah lama dicuri. Akan ku simpan janji 8 Februari itu menjadi kenangan yang abadi. Kini, hidupku hanyalah untuk Allah, keluargaku, dan suamiku, Mohd Haikal bin taufiq.

“Janji 8 februari sudah berlalu?” Pertanyaan Haikal memeranjatkan aku. Aku melihat Haikal dengan pelbagai tanda tanya.

“Kenapa? Terkejut? Abang tahu segala-galanya..” Haikal tersenyum menampakkan baris giginya yang putih bersih. Aku jua tersenyum dengan usikan Haikal. Biarlah segala persoalan yang timbul terungkai dengan sendiri…

_SEKIAN_